Monday, July 7, 2014

Kasih dan Redha Ibu Membawa Ke Syurga

Bila sebut pasal ibu, air mata aku ni mudah sangat untuk mengalir. Terkenang ujian yang Allah beri kepada ku sekeluarga amnya, dan kepada ibuku khususnya.

Mak aku yang dulu sangat aktif buat kerja-kerja kampung, mak aku yang sangat ceria, mak aku yang suka terlibat dengan aktiviti kampung......tapi itu dulu, setelah Allah beri ujian yang hebat buatnya, kini mak aku hanya mampu terbaring di katil akibat pendarahan dalam otak akibat stroke yang dialaminya sejak November 2013 yang lalu. Kini mak aku perlukan bantuan untuk bergerak dan buat kerja2 rutin seperti mandi dan sebagainya. Inilah ujian dan bahagian yang telah Allah tetapkan buat aku adik beradik amnya, dan buat aku khususnya, sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga.

Allah telah memberi takdir ini untuk menguji anak-anak lelakinya, apakah sanggup untuk menjaga seorang ibu yang tidak berdaya atau tidak. Menjaga orang tua adalah satu cabaran yang sangat hebat buat diriku.

Alhamdulillah, di dalam kesempitan dan kesederhanaan hidup aku dengan isteri, Allah masih memberi peluang untuk aku menjaga emak aku. Inilah peluang untuk aku.

Aku nukilkan entry ini setelah aku mendengar satu majlis ilmu yang membicarakan tentang liku-liku perjalanan kita ke alam akhirat. Dalam kajian itu, al-ustaz ada sentuh bab menjaga orang tua yang nyanyuk dan tidak berdaya.

Dalam kajian itu, ada disentuh bahawa ujian terbesar buat anak-anak lelaki ialah menjaga ibu bapa yang nyanyok/sudah tua. Kalau kita bukan anak yang sholeh, kita telah hantar ibu bapa kita ke rumah penjagaan orang2 tua. Nau zubillah minzalik. Al-ustaz mengingatkan, selagi mak ayah kita masih hidup, tanggungjawab menjaga mereka adalah terletak pada bahu anak-anak lelaki, bukan anak perempuan.

Bahkan tanggungjawab menjaga adik beradik perempuan yang belum kahwin juga adalah tanggungjawab abang/adik lelaki. Begitu besarnya tanggungjawab yang Islam letakkan pada seorang yang bernama lelaki. Subhanallah! Dan itulah hikmah Islam menetapkan pembahagian harta faraid itu lebih untuk lelaki dikeranakan beratnya tanggungjawab anak lelaki.

Oleh yang demikian, al-ustaz menitipkan pesan kepada suami-suami supaya jangan melebihkan isteri berbanding ibu bapa. Sangat bahaya kesannya seorang suami yang melebihkan dan lebih utamakan isterinya berbanding mak ayah sendiri. Inginkan keberkatan hidup, hendaklah kita menjaga kedua orang tua dan Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada anak-anak yang sanggup mengorbankan dirinya untuk ibu bapanya. Hubungan anak dengan mak ayah tetap tidak akan putus walau apa pun yang berlaku, berbeza hubungan dengan isteri yang hanya diikatkan dengan akad nikah yang boleh putus bila-bila masa atas sebab syariat.

Di akhir kajian, satu pesanan yang begitu terkesan buat diriku ialah seorang mak ayah boleh dan sanggup menjaga anaknya walau hingga hujung nyawanya, tetapi belum tentu seorang anak boleh menjaga orang tuanya. Oleh yang demikian, jangan lah kita sebagai anak berkira untuk menjaga mak ayah yang telah tua yang bila-bila masa Allah boleh jemput mereka. Mungkin selama mana kita menjaga mak ayah kita, tidak akan sama usia yang dihabiskan mak ayah kita ketika menjaga kita.

Oleh itu, marilah kita sama-sama hargai dan sentiasa mengambil berat akan kedua orang tua kita. Syurga kita terletak kepada keredhaan mereka. Sangat besar pahala yang Allah berikan kepada seorang anak yang sanggup korbankan segalanya untuk menggembirakan hati orang tuanya.


No comments:

Post a Comment