Thursday, June 5, 2014

Berpantang Maut Sebelum Ajal-Episod Akhir

Sebaik sahaja aku melepasi R&R Seremban...

"Eh, kenapa trition ni terhoyong hayang." kataku di dalam hati..
"Eh......Ya Allah........"....

Aku sedaya upaya mengawal stereng kenderaan yang kupandu dari terbalik.

"Buummmm.." Bahagian depan triton melanggar pembahagi jalan di tengah-tengah lebuhraya. Kenderaan berpusing ke tengah jalan. Triton masih berpusing.

"Bummmm.." Sekali lagi bahagian depan melanggar pembahagi jalan. 

Stereng triton aku pegang begitu kejap sekali, sehingga lengan dan pinggangku terasa sakit..Bahagian belakang pulak melanggar pembahagi jalan. Aku dapat rasakan ketika kenderaan berpusing untuk kali kedua ke tengah jalan, kedua-dua tayar sebelah kanan terangkat. Aku panik sebab aku risau triton ini akan terbalik dan melanggar kenderaan lain. Ketika itulah aku perasan ada sebuah lori 24 tayar berada di belakang ku, lebih tepat lagi sebelah kiri ku.

"Ya Allah...Selamatkanlah aku"  Apa yang ada difikiranku ketika itu hanyalah isteri dan anak-anakku..
...........................................

"Abang tak apa-apa?".

 Aku tersedar apabila seorang lelaki menegur aku yang ketika itu sebenarnya Triton itu telah pun tersadai ke lorong kecemasan. 

Syukur Ya Allah, kenderaan ini tak terbalik dan dilanggar oleh lori yang aku nampak ketika aku berpusing-pusing di dalam kenderaan yang aku pandu. Jantung ku begitu laju mengepam darah disebabkan situasi yang tidak pernah aku alami ini. Muka aku pucat lesi. Apa yang ada difikiranku ketika itu hanyalah mak aku yang terlantar sakit, isteri dan anak-anakku. Aku berusaha gagahkan kaki ku keluar dari kenderaan untuk melihat tahap kecederaan kenderaan yang aku pandu. 

Bahagian depan remuk sikit sehingga bumper terkena tayar..Setelah aku berupaya menenangkan diri, aku cuba meneruskan perjalanan dengan harapan triton ini masih boleh berjalan. Alhamdulillah, walaupun berbunyi, aku dapat juga pandu dan buat keputusan untuk exit ke Nilai bagi merehatkan dan menenangkan diri aku yang masih panik dengan apa yang baru sahaja aku alami. Aku bersyukur kerana tidak cedera. Mungkin ini hanya sedikit yang aku tempuhi, mungkin orang lain ada lebih teruk, malah ditimpa kecederaan yang serius.

Aku rasakan, aku terlanggar lopak air yang bertakung di lebuhraya tadi yang menyebabkan kenderaan yang ku pandu hilang kawalan. Mungkin kelajuan 80 km/jam itu agak laju untuk situasi hujan yang lebat.

Aku berusaha untuk menghubungi kawan baikku supaya dapat menemankan aku di saat aku begitu panik ini. Alhamdulillah, terima kasih Wan yang tolong dan menemani aku dari selepas kejadian, buat laporan polis sehinggalah semua urusan yang berkaitan selesai.

Segala urusan selesai sekitar jam 11 malam.

Ya Allah, Kau masih beri aku peluang untuk hidup dan pelajari sesuatu dari kejadian ini. KAU masih beri aku peluang untuk aku perbaiki diri, untuk aku terus berbakti kepada ibuku ketika dia sakit semampuku, memberi aku peluang untuk aku terus menatap wajah-wajah insan kesayanganku di rumah..


Sehingga kini, peristiwa itu masih terbayang di mataku-seolah-olah ia satu permainan video, dan aku berada di dalam game tersebut. Sesungguhnya, kejadian ini meninggalkan trauma pada aku. Aku akan rasa menggigil dan seram sejuk ketika hujan dan aku memandu ketika itu. Aku mula rasa seram apabila kereta yang aku pandu bergegar disebabkan keadaan jalan di negara kita yang tidak rata ini..

Ya Allah, hilangkan lah rasa trauma aku ini..


No comments:

Post a Comment