Thursday, June 5, 2014

Berpantang Maut Sebelum Ajal-Episod Satu

Kisah benar yang menyebabkan ku trauma sampai sekarang.

Pagi itu, 04 Jun 2014.........

"Abg tak jadi nak guna kereta Rina untuk pergi ambil ubat mak kat rembau. Takut balik lewat pulak hari ni" kataku kepada isteriku.

Isteriku senyap membisu. Mungkin sebab itu hanya ayat penyata yang biasa.

Seperti biasa sebelum aku dan isteri ke tempat kerja, rutin kami adalah akan cium dahi dan pipi masing-masing. Tapi pagi itu lain sekali situasinya. Seperti biasa, restu mak aku aku minta sebelum ke pejabat. Tangannya ku cium....

Aku bertolak ke pejabat terlebih dahulu untuk menyiapkan beberapa dokumen sebutharga yang masih tertangguh sebelum memulakan perjalanan ke Klinik Kesihatan Rembau untuk urusan ambil ubat stroke mak aku. Aku dah memberitahu En Rusli untuk guna triton untuk urusanku ini, memandangkan aku risau kereta antik ku akan buat hal di perjalanan nanti. Maklumlah kereta dah berusia 15 tahun. Hehehe. Seperti biasa aku akan bersarapan dahulu di pejabat. Namun pagi itu, memang selera aku tiada langsung untuk makan. Sesudu sahaja bihun goreng yang aku beli tadi mampu aku jamah, walaupun aku ada menambah lauk kegemaranku, sambal kerang.

Dalam jam 9.45 pagi, aku memulakan perjalanan ke Rembau, melalui Lebuhraya Elite dengan memasuki Tol Ebor. Perjalanan yang agak lancar pagi itu. Sambil mendengar radio untuk menghilangkan kebosanan dan mengunyah gula-gula getah, fikiranku menerawang mengingati kembali sesuatu. Entah, apa yang aku fikirkan pun aku tak tahu, tak dapat untuk aku simpulkan. Sampai di R&R Seremban arah selatan lebih kurang jam 11 pagi, aku berhenti rehat untuk mengisi perut ku yang agak lapar kerana tidak makan sarapan pagi.

"Hmm..nak makan apa yang bagi selera sikit." kataku di dalam hati

Setelah mundar mandir dua tiga kali di depan restoran-restoran di R&R itu, aku buat keputusan,

"Kak, bihun sup satu, tambah pegedil satu ketul." kataku kepada pelayan kedai makan tersebut.

Setelah membayar harga makanan yang berharga RM5.00 itu, aku mencari meja makan. Alhamdulillah, ada juga meja kosong.

"Hmm, mesti sedap ni. Ada pegedil." kataku dalam hati. Namun, takdir Allah, aku tidak berupaya juga untuk menghabiskan bihun sup tersebut. Hanya  lima ke enam suap sahaja yang aku makan.

"Membazir lagi ni. Sorry bihun. Aku tak larat nak makan kau lagi. Tak ada selera." kataku kepada bihun sup tersebut.

Aku meneruskan perjalanan ke Rembau. Mudah-mudahan sempatlah sampai sebelum zohor ni. Alhamdulillah, akhirnya sampai jugak ke klinik kesihatan Rembau. Kaunter menganbil ubat tidak ramai orang, dalam 4-5 orang sahaja menunggu giliran. Sambil menunggu giliran itu, sempat juga aku berbual dengan seseorang yang boleh aku anggap sebaya ayah aku.

"Nak ambil ubat, sakit masa kencing." Kata Pak Cik itu kepadaku.
"Sakit kencing? Macam mana boleh kena tu pakcik?" tanyaku.
" Sebelum ni kena denggi, tapi lepas tu bila nak kencing rasa sakit pulak. Tu yang datang cek kat sini tu." balas pakcik itu yang aku jangka umurnya sekitar 60-an.
"Anak buat apa di sini.?"tanyanya. "Ooohh. saya nak ambil ubat untuk mak, mak kena stroke." jawabku.
"Anak dari mana ni." tanya pakcik itu. "Saya dari Selangor ni, Pakcik. Amik cuti kejap untuk urusan ni." jawabku ramah. "Anak dah kahwin ke?" tanya Pakcik itu lagi. "Dah, pakcik. Anak dah tiga dah pakcik. Isteri dan anak-anak tak ikut. Kerja kan hari ni." jawabku. "Berapa umur anak ni? Pakcik rasa dalam 20-an eh." tanya pakcik itu lagi. "Eh, taklah pakcik, dah 33 tahun dah." jawabku, sedikit kembang. Nampak muda ke aku ni. Hehehe. "Oklah pakcik, nombor giliran saya dah dipanggil tu." kataku.

Setelah urusan di klinik selesai, aku meneruskan perjalanan untuk balik ke Shah Alam. Ketika itu jam menunjukkan hampir ke pukul 1 petang.

Langit mula mendung ketika aku masuk lebuhraya melalui Tol Pedas/Linggi. Mudah-mudahan hujan tak lebat sangat lah ni. Maklumlah, aku ni kalau hujan lebat, mata aku tak berapa terang untuk memandu. Namun, takdir Allah, hujan turun selebat-lebatnya sepanjang perjalanan. Aku membuat keputusan untuk tidak berhenti makan di R&R Seremban arah utara, memandangkan hujan terlalu lebat. Aku hanya mengisi perutku yang lapar dengan jus buah yang aku beli tadi. Semua kenderaan memandu dengan hadlaju yang perlahan. Aku memandu di lorong kanan sekali dengan kelajuan antara 80km/jam. sebaik sahaja aku melepasi R&R Seremban......

-bersambung-

No comments:

Post a Comment