Friday, February 27, 2015

Perkara Yang Terkadang Ibubapa Lalai: Tasmiyah (Pemberian Nama) Kepada Anak Siri 1

Hakikat tasmiyah (pemberian nama) ialah untuk mengenal sesuatu yang dinamakan. Dalam masalah pemberian nama kepada anak (tasmiyatul maulud), Islam telah menetapkan beberapa peraturan yang berbeza dengan kebiasaan jahiliyyah,

Akan tetapi sangat disayangkan zaman ini dan ditangisi oleh Islam, ramai ibu bapa yang memandang remeh hal memberi nama anak ini, padahal telah banyak hadis-hadis yang shahih daripada Rasulullah SAW tentang betapa pentingnya memberi nama yang baik-baik kepada anak.

Apa yang berlaku hari ini, ibu bapa berlumba-lumba untuk memberi nama kepada anak agar nama itu sedap disebut, bunyinya yang glamor, tak nak nama yang bila sebut nampak kekampungan, nama yang digabung-gabung (contoh digabung nama ibu dan ayah menjadi satu nama), nama yang tidak mempunyai makna yang baik di dalam Islam, bahkan nama itu tidak ada makna langsung, nama yang panjang berjela-jela sehingga ada yang empat ke lima patah perkataan. Apabila ditanya, apa makna nama anak itu, ada sesetengah ibu bapa jawab, sedap bunyi nama tu, tapi makna tak tau. Baru nak cari maknanya!! Apa kes ni!!

Waktu memberi nama anak

Dari Anas Bin Malik RA, dia berkata,: Telah bersabda Rasulullah SAW, "Telah dilahirkan untukku semalam (yakni semalam telah lahir anakku) seorang laki-laki, maka aku namakan dia dengan nama bapakku iaitu Ibrahim." (Hadis Shahih Riwayat Imam Muslim (7/76))

Imam Nawawi mengatakan bahawa di dalam hadis ini diperbolehkan memberi nama kepada anak pada hari kelahirannya dan diperbolehkan memberi nama anak dengan nama para Nabi. (Syarah Muslim Kitab Fadhaa-il). Berkata Imam Baihaqi, "Memberi nama kepada anak pada hari kelahirannya lebih shahih (hadis-hadisnya) daripada hari ke-7".

Ketika Abu Talhah mendapat anak beliau langsung membawanya kepada Nabi Shalallahu'alaihi wa sallam. Kemudian Nabi mentahniknya dengan kurma dan menamakannya dengan Abdullah. (Dikeluarkan oleh Imam Bukhari No. 5470 dan Muslim)

Ketika Asma' Binti Abu Bakar Ash Siddiq melahirkan anaknya dibawalah bayinya kepada Nabi Shalallahu'alaihi wa sallam. Kemudian beliau mentahniknya dan mendoakan keberkahan baginya lalu menamakannya Abdullah. (HR Bukhari dan Muslim)

Terdapat dalil yang panjang tentang Nabi menukar nama yang buruk kepada nama yang baik.

Dari Sahl bin Sa'ad dia berkata: Dibawa Mundzir Bin Abi Usaid kepada Rasulullah SAW ketika dilahirkan. Lalu Nabi SAW meletakkan di atas pehanya sedangkan Abu Usaid duduk (yakni di sisi Nabi Shalallahu'alaihi wa sallam). Kemudian Nabi Shalallahu'alaihi wa sallam disibukkan oleh sesuatu yang ada dihadapannya, lalu Abu Usaid memerintahkan agar anaknya diangkat dari atas peha Rasulullah Shalallahu'alaihi wa sallam, lalu mereka membawanya pulang. Maka setelah Rasulullah Shalallahu'alaihi wa sallam selesai dari kesibukannya beliau sedar dan teringat (akan bayi yang dipangkunya) kemudian beliau bertanya, "Mana bayi tadi.?"

Jawab Abu Usaid, "Kami telah membawanya pulang, ya Rasulullah."

Beliau bertanya lagi, "Siapa namanya?" Jawab Abu Usaid, "Fulan, ya Rasulullah."

Beliau bersabda, "Tidak! Akan tetapi namanya adalah Mundzir." Berkata Sahl Bin Sa'ad, "Maka beliau menamakannya pada hari itu (dengan nama) Mundzir." (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Di antara faedah-faedah dari hadis-hadis di atas ialah:

1. Memberi nama kepada anak pada hari kelahirannya.
2. Mentahnik-nya pada hari kelahirannya.
3. Mendoakannya.
4. Memberi nama dengan nama-nama para nabi dan Rasul.
5. Memberi nama yang baik kepada anak.
6. Mengganti nama yang buruk kepada yang baik atau yang baik kepada yang lebih baik.
7. Meminta nama kepada orang-orang yang shalih (baca: ahli ilmu dari kalangan Ahli Sunnah bukan ahli Bid'ah)
8. Meminta didoakan oleh orang-orang yang shalih.
10. Di antara nama yang dicintai Nabi Shalallahu'alaihi wa sallam ialah Abdullah.

...akan bersambung, In Sya Allah Siri 2: Memberi Nama Anak pada Hari ketujuh.

No comments:

Post a Comment