Friday, January 4, 2013

Sebelum Anak itu Lahir Siri 2

Bertemu lagi kito..

Anak Merupakan Fitnah (Ujian)

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal: 28 bermaksud:

"Dan ketahuilah! Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian) bagi kamu. Dan sesungguhnya Allah di sisi-NYA lah ada ganjaran yang besar."

Anak merupakan fitnah atau ujian bagi setiap orang tua yang dapat membawa orang tuanya kepada kesenangan dunia dan akhirat apabila orang tuanya mendidiknya di jalan Allah SWT, atau akan membawa mereka kepada kesengsaraan dunia dan akhirat apabila orang tuanya itu mendidik anak-anaknya di jalan syaitan.

Bilakah seseorang itu menjadi Manusia di dalam rahim Ibunya?

Jawabnya adalah hadith di bawah ini. :

Dari Abdullah bin Mas'ud, dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Rasulullah SAW, "Sesungguhnya salah seorang dari kamu dikumpulkan kejadiannya (di dalam rahim) di perut ibunya selama 40 hari. Kemudian menjadi darah yang tergantung seperti itu (yakni air mani itu berubah menjadi segumpal darah selama 40 hari berikutnya). Kemudian menjadi sepotong daging yang tidak bertulang seperti itu juga (40 hari berikutnya). Kemudian diutus seorang Malaikat lalu ia meniupkan roh kepadanya dan diperintahkan untuk mencatat empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalnya dan menjadi orang yang celaka atau bahagia.." (HR Bukhari dan Muslim)

Dari hadith ini, kita dapati bahawa seseorang itu menjadi manusia yang hidup di perut (rahim) ibunya setelah ia berumur 120 hari , setelah itu barulah ditiupkan roh kepadanya. Bacalah keterangan hadis yang mulia ini di kitab Fathul Baari Syarhul Kitab Shahih Bukhari.

Ringkasnya, janin tersebut kejadiannya untuk mencapai kesempurnaan yang urutannya menurut Al-Quran dan hadith sebagai berikut:

Pertama: Berupa nuthfah (air mani) pada 40 hari yang pertama.
Kedua: Berubah menjadi 'alaqah (darah) pada 40 hari yang kedua.
Ketiga: Kemudian berubah menjadi mudhghah (segumpal daging yang tidak bertulang) pada 40 hari yang ketiga.
Keempat: Kemudian setelah itu janin tersebut terus berubah kepada tahapan kehidupan. Jadilah janin tersebut manusia yang hidup setelah Allah perintahkan Malaikat untuk meniupkan roh kepadanya meskipun di perut ibunya. Kemudian si janin buah hati meneruskan safarnya yang panjang dan terus berubah menjadi manusia yang sempurna, sebagaimana diterangkan dalam Surah Al-Mukminun: 14
Kelima: Kemudian mudhghah itu Allah ciptakan tulang-tulang ('idzaaman)
Keenam: Kemudian tulang-tulang itu Allah bungkus dengan daging-daging (lahman) untuk memperkuatkannya,
Ketujuh: Kemudian dengan izin Allah lahirlah manusia yang baru yang berbeza bentuknya dengan yang lain.

(Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

InsyaAllah dikesempatan lain saya akan bawakan perkataan ulama-ulama berkaitan keutamaan mendidik dan berbuat ihsan kepada anak-anak perempuan. Bab ini sesuai bagi mereka yang tidak suka anak perempuan.

Sebelum Anak itu Lahir Siri 1

Kepada yang ada membaca entry aku sebelum ni, tentang Buah Hati, aku ada bagitau nak nukilkan sunnah2 berkaitan dengan anak ni.

Untuk bab pertama ni, aku mulakan dengan:

BAB: SEBELUM ANAK ITU LAHIR.

Islam Mengharamkan Tidak Mau Anak Kerana Takut Miskin

Allah berfirman dalam Surah Al-An'aam: 151 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan (kamu). Kami (Allah) akan memberi rezki kepada kamu dan kepada mereka."

Dan firman-NYA lagi:

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut miskin. Kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang sangat besar." (Al-Israa':31)

Kalau kita tengok, berapa ramai yang memberi alasan tidak mau anak kerana takut miskin, ekonomi belum stabil dan lain2 lagi. Semua itu dibantah oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Dan inilah yang dibatalkan oleh Islam ketika Nabi SAW bersabda pada Hajjatul Wada' sewaktu beliau wukuf di Arafah:

"Ketahuilah! Segala sesuatu dari urusan jahiliyyah berada di bawah kedua telapak kakiku dibatalkan." (HR Muslim)

Salah satu urusan jahiliyyah ialah membunuh anak-anak mereka kerana kemiskinan atau takut miskin!! Maka kaum muslimin yang tidak mau anak dengan iktiqad/keyakinan takut miskin atau takut tidak boleh beri anak makan atau..atau..bla ...bla.. Samalah keyakinan mereka ini dengan keyakinan orang2 jahiliyyah meskipun mereka tidak membunuh anak-anak mereka.

Di samping itu Islam menganjurkan untuk mempunyai anak yang ramai.

Hal ini ketika rasulullah mendoakan seorang sahabat yang mulia, Anas Bin Malik:

"Ya Allah. Banyakkanlah hartanya dan banyakkanlah anaknya dan berkatilah apa Engkau telah berikan kepadanya. (HR Bukhari)

Keutamaan mempunyai ramai anak ni banyak sey.

Antaranya, hadis riwayat Ibnu Majah, Ahmad, Bukhari, iaitu:

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, Telah bersabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya ada seseorang yang diangkat (ditinggikan) darjatnya di jannah (syurga)." Lalu dia bertanya (terheran), "Bagaimana aku bisa mendapat ini (yakni darjat yang tinggi di syurga)?"

Dikatakan kepadanya, "(ini) disebabkan istighfar (permohonan ampun) dari anakmu kepada Allah untukmu."

Jadi, kepada para ibubapa, termasuk aku ni, ajarilah dan didiklah anak-anak kita dengan pendidikan agama yang benar, agar anak-anak kita kelak boleh menjadi saham kita di alam kubur nanti. Rasulullah SAW bersabda,

"Apabila manusia itu telah mati maka terputuslah dari semua amalnya kecuali tiga perkara, Sedekah jariyah, Ilmu yang bermanfaat dan dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya." (HR Muslim dari Abu Hurairah)

Berjumpa lagi di Siri 2 ya...

Thursday, January 3, 2013

Menanti Buah Hati..1

Buah Hati..Apa itu Buah Hati?

Ha..buah hati yang aku maksudkan ni ialah anak. Jadi, buah hati adalah satu kurniaan daripada Allah yang sangat berharga buat ibubapa. Dan juga merupakan satu amanah dari Allah SWT.

Isteri aku la ni dah sarat hamil, dah nak masuk 9 bulan. Kiranya aku ni tengah menghitung detik2 yang mendebarkan untuk menanti kelahiran anak aku yang ke tiga.

Jadi, terfikirlah untuk aku kongsikan serba sedikit ilmu yang aku ada ni, berkenaan sunnah-sunnah yang dianjurkan Rasulullah ketika buah hati kita lahir ke dunia. Insya Allah sunnah-sunnah ketika bayi itu lahir yang aku nukilkan ini, shahih rujukan serta sumbernya. Apa yang penting, ia tidak lari dari sunnah Rasulullah, bahkan apa yang penting juga, jauh dari bid'ah2 serta khurafat2 yang biasa diamalkan oleh segelintir masyarakat kita.

Insya Allah jika berkesempatan, aku akan bahagikan kepada:

1.Bab Sebelum Anak itu Lahir
2. Bab Ketika Anak itu Lahir
3. Bab Bid'ah-Bid'ah Di dalam kehamilan dan Kelahiran

Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menyebarkan sunnah Rasulullah yang mulia ini.